Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa dewasa ini begitu ramai individu sudah mahir dalam selok belok hiasan dalaman sejak terbitnya majalah-majalah berbahasa melayu berkaitan perkara sama. Ini disemarakkan lagi dengan kemunculan program-program televisyen yang membicarakan tentang hiasan dalaman selain daripada kewujudan atau pembukaan begitu banyak premis perniagaan hiasan dalaman yang menawarkan contoh-contoh terbaik menghias kediaman.

Tetapi pernahkah anda terfikir sekiranya melangkah ke luar kediaman, tahukah anda bagaimana untuk menghiaskannya seperti menghias ruang dalaman kediaman? Mencorak rupa landskap kediaman sebenarnya tidak banyak bezanya dengan bagaimana anda menghias ruang dalaman. Misi utama yang harus dilaksanakan ialah mengenal pasti tempat ruang utama dan perancangan untuk setiap satu ruang tersebut. Usaha pengenalpastian ini merupakan langkah penting ke arah memiliki landskap indah dan dalam masa praktikal, berfungsi. Ruang-ruang tersebut ialah ruang masuk, ruang parkir kereta, ruang utiliti dan ruang santai (luar).

Menilai sebuah taman seperti menilai seni tinggi. Bagi membantu mewujudkan taman impian keluasan ruang dan persekitaran perlu diambil kira. Tekstur juga memberi bentuk dan kesan mendalam pada sebuah taman. Pokok-pokok yang ditanam juga perlulah bertetapan dengan ruang-ruang yang dapat memberikan kesegaran, kecantikan dan keindahan taman.

Seni landskap turut mengklafikasikan kesesuaian pokok puding sebagai elemen pagaran. Ditanam di pinggir jalan dan taman rekreasi. Pokok Bunga Puding dipercayai berasal dari kepulauan Fiji, Australia dan Maluku. Pokok ini tidak berbunga tetapi daunnya unik dan berwarna warni. Ia boleh ditanam sebagai hiasan dalaman dengan menggunakan pasu tetapi memerlukan dedahan cahaya yang banyak. Species tumbuhan berbatas itu hanya mempamerkan keindahan warna dan reka bentuk daunnya saja. Turut sesuai ditanam secara kelompok sebagai tanaman tumpuan mudah diurus cara penanamannya dan harganya.

Puding yang mempunyai saiz daun yang lebar dibahagian hujung dan tepian yang licin dikenali sebagai Platifilum. Daun yang berpintal-pintal, kerinting dan tepi daun yang beralun panggil krispum. Manakala yang berdaun kecil dengan urat daun utama yang tertonjol adalah dari jenis Kornutum.

Puding jenis Lobatum mempunyai daun yang bercuping tiga dan lebar dibahagian tengah. Apaendikulatum pula dari jenis daun yang berbentuk garisan di bahagian tengah.

Puding dari Aucubifolium mempunyai daun yang kecil berwarna hijau berbintik kuning dimana daunnya berbentuk tirus ke arah pangkal.

Puding Connutum pula menyerlahkan daunnya seakan-akan bujur panjang dengan kedua-dua sisi yang hampir selari dan tidak simetri. Hujung daunnya berbentuk dempak dan sesetengahnya membulat. Tepi daunnya beralun dengan warna hijau muda dan bercampur dengan tompokan warna kuning terang.

Cara pembiakan pokok puding terlalu mudah menerusi keratan dahan, batang, cantuman sending ataupun tat. Kita boleh membuat pilihan sama ada untuk menanamnya dalam pasu ataupun di dalam lubang. Satu bahagian bahan organik. Tiga bahagian tanah dan baja dengan kadar 50 gram untuk setiap pokok yang hendak ditanam, memerlukan dedahan cahaya matahari dan suhu panas lembab dengan kesesuaian tanah paroi dan bekalan air yang sederhana.

Justeru itu, untuk mendapatkan sebuah taman landskap yang cantik kita harus mendekorasikannya dengan citarasa yang tersendiri. Memiliki taman yang cantik dengan tumbuh-tumbuhan yang menghijau memberi peluang kepada kita untuk sentiasa bersama-sama keluarga menghayati serta mengeratkan hubungan yang sedia terbina.