Pentingnya Landskap Taman Kepada Alam Sekitar

Posted on 11:38 PM

Alam ciptaan Allah untuk umatnya. Udara salah satu daripada saluran penting, umpama nyawa kepada makluknya.........udara bersih menjadikan hidup kita sihat. Udara yang tercemar, ibarat manusia yang berpenyakit.

Pencemaran alam sekitar bermakna kehidupan kita juga bakal tercemar. Untuk menjaga alam sekitar, perlunya teknologi hijau. Bermakna perlunya kepada perlandskapan. Ia melibatkan proses merancang, mereka bentuk, melaksana dan menguruskan landskap untuk keselesaan, keselamatan dan keseronokan manusia.


Landskap adalah taman buatan manusia. Rekabentuk landskap adalah gabungan elemen-elemen yang sesuai seperti tumbuhan, struktur, air dan batu-batan untuk menwujudkan ruang di kawasan terbuka. Di kawasan luar bangunan sesebuah pejabat atau syarikat. Landskap juga terdapat dalam bentuk taman bunga, taman rekreasi, sebagai mencantikkan pemandangan alam.

Pembinaan landskap juga perlu disesuaikan dengan fungsinya. Sama ada untuk bersantai, hanya untuk sekadar penghias ruang semata-mata atau untuk kita bergerak aktif di dalamnya.
Landskap kurniaan Tuhan merupakan semulajadi. Namun ia diubah atau dibentuk baru untuk menjaga kepentingan manusia. Manusia berusaha memperbaiki keadaan dengan tujuan tertentu. Alam sekitar yang semulajadi diganggu gugat dengan pembinan bangunan, kawasan perumahan, ladang dan sebagainya. Akibat dari itu terjadinya tanah runtuh, pokok-pokok hijau ditebang dan berkurangan. Tanah menjadi bergelombang dan tandus, cuaca semakin panas. Seri kehijauan tumbuhan tidak lagi terserlah. Pencemaran berlaku di sana sini dan merbahaya. Jika pembangunan ini tidak dikawal dengan pengindahan landskap yang sempurna, ia akan mewujudkan suatu suasana alam sekitar tandus, kering dan tidak bermaya. Justeru itu perancangan, rekabentuk dan pengurusan landskap yang profesional akan menampilkan suasana persekitaran bagi penghidupan manusia sejagat secara lebih inovatif dan berdaya maju.

Dengan adanya landskap dapat memelihara alam sekitar. Landskap juga menambah nilai estetik sesuatu kawasan dan sekelilingnya. Mencantikkan kawasan dan pandangan. Memberi pengguna suasana yang nyaman, menyegarkan penglihatan, dapat menghidu udara segar, deruan bunyi angin dari pohon-pohon, siulan burung-burung, bau harum dari kuntuman bunga-bunga. Secara tidak langsung sekadar dapat melupakan suasana hiruk pikuk yang dialami.

Landskap juga menjadikan pengguna rasa lebih selamat, merehatkan minda dan rasa terbuka. Landskap yang ada laluan pejalan kaki boleh dimanfaatkan untuk berjoging atau menghirup udara segar. Unsur tanah sekitar kawasan landskap juga dapat diperbaiki.

Dunia maju telah mencapai landskap kontemporari. Bantuan Arkitek landskap sangat penting untuk merekabentuk pembangunan. Kontemporari landskap dibina mengikut peredaran zaman. Semua pembangunan mestilah memastikan dengan menumpukan kawasan dan fungsi landskap sebelum dibina. Kebanyakkan projek sekarang berlumba-lumba untuk membina landskap kontemporari. Peranan arkitek landskap akan menjadi bertambah penting dengan pemesatan proses urbanisasi dalam tekad kerajaan mencapai matlamat wawasan 2020. Sehinggakan landskap merupakan salah satu subjek di sesetengah pusat pengajian tinggi.

Landskap yang dibina perlu menepati prinsip-prinsip dan elemen landskap. Setiap kawasan mempunyai penyataan, kesesuaian tanaman dengan ruang, elemen landskap dan elemen rekabentuk. Ukuran atau skala yang digunakan menepati saiz ruang, bergantung kepada sama ada besar landskap, di kawasan tinggi dan berbukit, jauh dari kawasan pembangunan atau landskap yang hampir dengan persekitaran orang ramai. Gubahan landskap biasanya menitikberatkan keringkasan. Suatu yang menyenangkan penyelenggaraan dan pengurusan landskap sahaja yang digunakan. Ia juga mementingkan keseimbangan susunan pokok-pokok dan tumbuhan sama ada simetri atau tidak simetri.

Landskap yang cantik perlu ada unsur-unsur pelbagaian pertentangan dan kontras. Unsur kontras, contohnya bahan bersaiz besar di antara bahan-bahan yang bersaiz kecil, penggunaan warna yang terang di antara yang malap. Penekanan juga dapat di capai dengan penggunaan unsur yang unik. Bentuk yang beraneka, bulat, bujur, memanjang, selari dan sebagainya. Gandingan warna bunga-bungaan merah, kuning, putih ,hijau, biru menceriakan lagi suasana, begitu juga dengan tekstur tumbuhan. Penanaman yang berulang daripada jenis yang sama, satu pokok pada satu kawasan, satu lagi prinsip landskap.

Konsep landskap mestilah bermakna dan ada kelebihan tersendiri. Contoh konsep Jepun, lebih kepada penggunaan batu asli, warna yang serba putih, kolam dan ikan. Konsep Islam pula lebih tertumpu kepada tumbuhan harum, aliran air, kehidupan dan bunyi

Terdapat juga landskap yang dibina di kawasan rumah mengabungkan dua atau lebih konsep sekali gus.Ini memerlukan kreativiti yang tinggi. Tanpa konsepatau tema taman kita tidak dapat pastikan apa sebenarnya yang akan ditonjolkan di taman tersebut. Jika tiada tema tidak bermakna kita tidak berjaya membina suatu taman yang
menarik. Sebaliknya tema akan membuatkan peragaan taman menjadi lebih fokus, tersusun dan kelihatan sepadan.

Pelbagai-bagai tema yang boleh digunakan untuk taman. Sebagai contoh tema-tema seperti taman melayu, taman inggeris, taman bali begitu juga taman Meditranean dan Tropikal. Dengan adanya tema taman, dapat dibayangkan penataan ruang dengan pemilihan spesies yang akan digunakan dalam taman berkenaan. Untuk sesuatu landskap, tema yang digunakan tidak terhad kepada satu. Beberapa tema boleh digabungkan asalkan bersesuaian dengan struktur bangunan, rumah atau kawasan. Mencipta tarikan taman menjadi suatu kepuasan dan dapat menyerlahkan lagi keindahan taman yang dibina.

Terdapat dua jenis landskap iaitu landskap lembut dan landskap keras. Menggunakan elemen-elemen semulajadi seperti tumbuhan, air, rupa bumi, struktur dan binaan. Tumbuhan memberikan pelbagai fungsi. Antaranya melembutkan seni bina keras seperti bangunan. Mengindahkan kawasan dengan bentuk, warna dan struktur yang menarik. Mewujudkan persekitaran yang harmoni alam. Mengawal suhu dan iklim mikro di sesuatu tempat. Di samping itu mengawal hakisan dan meningkatkan kesuburan tanah. Menghalang pandangan yang tidak dikehendaki.

Fungsi tumbuhan dalam landskap dari segi fizikal mengawal hakisan air dengan cara susunan pokok boleh meredakan tujahan air hujan yang jatuh dan akar-akar pokok bertindak memegang tanah dari dilarikan air. Meredakan iklim dengan mengurangkan suhu tinggi ke beberapa darjah apabila banyak tumbuhan ditanam. Proses transpirasi dapat menyejukkan kawasan persekitaran. Tumbuhan sebagai tirai melindungi daripada pantulan cahaya yang menyilaukan mata, seperti di sepanjang kawasan lebuh raya. Melindungi suatu kawasan daripada pukulan angin kencang . Tumbuhan juga memberi teduhan daripada panas matahari dan cahaya pantulan dari kaca bangunan. Susunan pokok memberi teduhan dan menjimatkan penggunaan penyaman udara. Pokok-pokok juga boleh mengarah pergerakan lalulintas pejalan kaki. Juga boleh menjadi penghalang pergerakan.

Dari segi estetika pula, fungsi tumbuhan dapat digunakan membentuk sempadan dan ruang tertentu. Di samping membentuk ruang, tumbuhan berguna memberi kualiti atau menghias ruang tersebut. Merangka pemandangan semulajadi dengan tumbuhan dapat memperbaiki sesuatu pemandangan. Fungsi tumbuhan secara semulajadi juga boleh melembutkan pemandangan seni bina sesebuah bangunan. Menanam tumbuh-tumbuhan di pangkal bangunan atau struktur boleh menjadikan bangunan atau struktur itu kelihatan terikat dengan permukaan bumi dan lebih stabil. Ia juga sebagai penyatu kepada pelbagai elemen dalam satu-satu kawasan.

Landskap lembut adalah suatu landskap yang unik. Berfungsi memberi kedamaian, ketenangan serta keindahan kepada pengguna. Hasil dari gabungan unsur-unsur asli atau semulajadi yang terdiri dari pelbagai tanaman.. Jika ada tanaman bermakna di situ ada serangga atau kupu-kupu. Dengan kehadiran serangga dan kupu-kupu itu akan menambahkan lagi keindahan landskap tersebut. Tanaman pokok landskap di kategorikan kepada dua iaitu tumbuhan berbunga dan tumbuhan berdaun.

Tumbuhan berbunga di kelaskan sebagai tanaman bungaan kerana memiliki kuntum bunga yang indah, sama ada dari segi bentuk, warna, susunan dan aromanya. Tumbuhan berbunga mempunyai bunga yang menarik dan berbau harum serta bewarna-warni. Umumnya pokok berbunga memerlukan sinar cahaya matahari dalam jumlah yang banyak. Ini untuk pembentukan bunga. Antara tanaman seperti pokok utama atau naungan , pokok renek, pokok memanjat, herba atau pokok tutup bumi.

Pokok utama atau pokok naungan biasa di tanam sebagai teduhan. Biasanya ia berdaun rimbun dan memiliki bunga yang cantik. Beberapa jenis tanaman pokok ini mempunyai musim bunga yang berbeza-beza. Bila tiba musim bunga, pokok ini akan semarak dengan bunga. Pokok ini cantik ditanam di kawasan yang luas.

Pokok renek ialah tumbuhan yang mempunyai banyak batang dan muncul dari pangkal. Ia banyak ditanam di kebanyakan landskap yang dibina.. Sebahagian bunga menjadi daya penarik kepada taman, misalnya bunga adenium. Bunganya yang berkelopak dengan bentuk yang cantik menjadi daya penarik. Bunga yang berbagai warna menyemarakkan lagi suasana taman.

Pokok renek berdaun yang mempunyai daun yang menarik adalah seperti Acalypha Wilkesiana. Terdapat pelbagai spesies menarik yang boleh dipilih mengikut minat dan citarasa. Perkara yang penting ialah memahami fungsi dan kesesuaian tumbuhan tersebut dengan landskap yang dibina.

Renek pagaran juga diguna dalam pembuatan landskap. Ianya untuk mengadang pemandangan yang tidak elok, membahagikan ruang. Mencantikkan dinding atau pagar, mengurang kebisingan, menambahkan seni serta sebagai latar belakang sesuatu kawasan. Ada juga tanaman pokok memanjat yang di tanam untuk menghiasi pergola atau pagar.

Selain daripada itu, pokok tutup bumi juga ditanam bagi mengawal hakisan tanah, menghalang perjalanan dan penghubung berbagai-bagai unsur di dalam rekabentuk taman. Pokok tutup bumi ini tumbuh melata. Pokok tutup bumi ini juga mempunyai bunga yang cantik dan indah. Beberapa jenis tanaman yang selalu ditanam sebagai penutup bumi iaitu archis pintoi, rain lily, seruni jalar, aster, sutera bombay, bunga kacang dan ptunia.

Tumbuhan pokok berdaun mempunyai bentuk dan warna daun yang berbagai. Memang pada asalnya warna daun hijau, namun beberpa jenis tumbuhan berdaun warna daunnya berbeza. Warna-warna ungu, merah, kuning merupakan kombinasi warna daun pada tanaman jenis ini. Di samping warna, bentuk daun juga menjadi daya tarikan. Bentuk yang biasa bulat, oval, bentuk jantung, jejari dan sebagainya.

Kawasan-kawasan yang biasa dibina landskap ialah seperti tepi-tepi jalan. Di kebanyakkan bangunan awam, kompleks pejabat kerajaan, sekolah-sekolah, di masjid-masjid. Kawasan letak kereta juga di hiasi dengan landskap begitu juga berhampiran kawasan pantai. Landskap di pantai akan kelihatan lebih menarik dengan tiupan angin laut.

Pembangunan landskap secara menyeluruh adalah satu langkah Kerajaan untuk memastikan pembangunan alam sekitar yang mampan. Kerajaan sedar, status negara maju tidak akan tercapai tanpa disertai dengan pembangunan landskap yang berkualiti dan menyeluruh. Dengan sebab itu Kerajaan menubuhkan Jabatan Landskap Negara di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 1996 untuk bertanggungjawab sepenuhnya kepada pembangunan landskap di seluruh Negara. Pelbagai program telah diadakan dan dilaksanakan oleh Jabatan Landskap Negara termasuklah penyediaan pelan induk landskap bagi semua Bandar, pembangunan taman awam, peningkatan kehijauan dan keindahan, serta kempen menanam pokok.



Landskap ialah istilah daripada Bahasa Belanda bermaksud pemandangan desa. Landskap didefinisikan sebagai apa-apa yang terdapat di permukaan bumi sama ada elemen semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan, tasik, gunung-ganang, sungai, laut, air terjun, paya, dan hutan belantara, atau elemen buatan manusia seperti jalanraya, rumah, bangunan, kolam buatan.

Selain itu, landskap merujuk Kamus Dewan 1989 bermaksud keadaan taman dan sekitar sesebuah rumah. Landskap juga merujuk Kamus Landskap 2005 bermaksud elemen yang terdapat di muka bumi yang terhasil daripada kejadian alam semula jadi seperti gunung dan lautan atau yang terhasil daripada aktiviti ekonomi, kebudayaan dan politik seperti perlombongan, pembandaran dan sebagainya yang dapat dipersepsi oleh individu.

Tetapi, landskap herba pula memberi definisi yang berbeza. Seni tanaman landskap dipercayai sudah wujud sekian lama seperti lamanya kewujudan manusia. Walau bagaimanapun, kaedah penanaman herba secara perladangan dan tanaman hiasan adalah masih baru. Ia bermula sebagai kebun herba di belakang rumah untuk tujuan kegunaan harian dan berkembang menjadi taman-taman herba yang kecil untuk kegunaan khasiat perubatannya. Kebanyakkan tumbuhan landskap yang terdapat di bandar-bandar adalah merupakan tumbuhan ornamental yang mempunyai nilai estetik yang cantik dan menarik.
Tidak banyak tumbuhan aromatik dan herba yang digunakan sebagai sebahagian daripada tanaman landskap. Keindahan landskap akan lebih menarik jika tumbuhan hiasan turut diselang-selikan dengan tummbuhan aromatik dan herba sebagai salah satu identiti yang mempunyai nilai eksotik untuk menunjukkan kekayaan sumber alam semulajadi negara ini. Faktor yang perlu dipertimbangkan untuk mewujudkan taman herba adalah bergantung kepada kegunaan dan kesesuaian jenis pokok mengikut keperluan seseorang itu sendiri.

Kebiasaannya, taman herba diwujudkan berasaskan konsep tema sebagai kulinari atau perubatan. Walaupun ia mempunyai kurang nilai estetik dengan kombinasi yang betul, anda boleh mewujudkan suasana landskap herba yang dramatik. Berikut adalah antara tips yang berguna bagi anda:-

a) Kaji sifat-sifat fizikal setiap herba secara individual dari aspek pembungaan, warna, tinggi, tekstur, corak pertumbuhan. Sebagai contoh, salah satu jenis daun selasih yang mempunyai warna ungu terang serta mengeluarkan aroma yang segar.

b) Wujudkan kombinasi yang efektif. Sebagai contoh, menanam tumbuhan herba yang berbeza dari segi warna secara berhampiran untuk mewujudkan warna yang harmoni.

c) Pilih warna tema (biru dan ungu, hijau dan kuning, merah dan jingga, warna lembut dan sebagainya). Cuba elakkan penggunaan lebih daripada tiga warna yang berbeza di kawasan taman anda. Terlalu banyak warna akan mewujudkan suasana taman yang serabut.

d) Bina kesinambungan dengan mengenal pasti tempat yang sesuai untuk menanam setiap herba yang berbeza. Tanam mengikut ketinggian di mana pokok rendah di hadapan manakala pokok tinggi diletakkan di belakang.

e) Susun secara berkelompok. Tumbuhan herba nampak lebih dramatik dengan kesan visual yang lebih menarik jika ditanam secara berkelompok berbanding dengan sebaliknya.

f) Wujudkan aroma dan bauan yang wangi dan menyegarkan dengan menempatkan secara strategik di kawasan taman tersebut. Letakkan tumbuhan herba yang mempunyai bau yang wangi berhampiran jalan atau depan rumah di mana bauan yang wangi itu dapat dihidu apabila kawasan tersebut dilalui.

Ketika kecenderungan orang ramai sebagai pengguna mula terarah kepada produk semula jadi, mereka kini memilih untuk menjadikan tumbuhan sebagai bahan utama kegunaan harian. Produk tersebut mungkin ubat-ubatan, makanan atau produk penjagaan kesihatan berasaskan herba yang kini semakin popular. Justeru, apabila semakin banyak pihak mula menyedari kecenderungan tersebut dan mengambil langkah proaktif menjalankan penyelidikan mengenai tumbuhan herba, ia boleh dianggap satu perkembangan positif. Menjalankan penyelidikan mengenai khasiat herba tidak sahaja membantu mempromosikan tumbuhan tersebut secara langsung tetapi masyarakat juga kini mula menghargai bukti saintifik dan khasiatnya.

Taman tidak sukar untuk dibentuk. Apa yang penting, mempunyai koleksi tumbuhan herba yang aik dan susunan yang sempurna. Lebih menarik jika herba yang ditanam itu ada keistimewaannya dan berkhasiat. Penanaman tumbuhan herba perlu bersesuaian dengan tumbuhan itu sendiri. Sesetengahnya sesuai di kawasan teduh dan sebahagian sesuai ditanam di kawasan terbuka.

Tumbuhan herba juga boleh ditanam di ruang yang kecil, berbeza dengan tumbuhan kategori lain. Penggunaan pasu juga lebih praktikal bagi tumbuhan-tumbuhan herba yang rendah dan boleh dijadikan fokal point dalam peragaan taman. Bagi sesetengah penggemar taman akan memanam tamnaman herba seperti pegagaatau bebuas di dalam pasu bulat dengan bukaan yang besar di sudut-sudut taman.

Tumbuhan herba juga boleh ditanam dalam bentuk batas. Tanaman akan kelihatan lebih kemas dan tersusun jika diolah secara berbatas. Batas penanaman boleh dibina dengan pelbagai saiz, sama ada bulat, memanjang atau bentuk segi. Susunan tinggi atau rendah tanaman herba juga penting untuk menyerikan lagi peragaan taman.
Ada pelbagai jenis landskap tanaman herba yang di tanam sekitar rumah atau banggunan. Tanaman herba berbeza dari segi pokok, bentuk, warna dan jangka masa hayat. Terdapat beragai-agai jenis herba, antaranya herba hiasan, herba berkhasiat dan herba beracun.

Ada beberapa cara penjagaan landskap yang perlu diberikan perhatian untuk memastikan laman terus cantik dan kekal lama terutama kepada tanaman herba. Perkara utama dalam penjagaan landskap tanaman herba adalah penyiraman pokok yang perlu dilakukan untuk memastikan jumlah air mencukupi diserap tisu tumbuhan. Membuang daun mati termasuk kerja pemangkasan dapat mencantik dan menyuburkan pokok. Kita tahu bahawa pokok memerlukan air untuk hidup, tetapi terlalu banyak air boleh menjejaskan pertumbuhan pokok. Justeru, tentukan jenis pokok herba yang ditanam, kerana sesetengah pokok herba memerlukan sedikit air manakala ada yang memerlukan air dengan banyak.
Satu lagi aspek yang penting untuk menjaga laman adalah pemangkasan pokok. Pemangkasan menyebabkan tekanan kepada pokok, jadi jangan pangkas jika tidak ada tujuan spesifik atau tanpa idea kesannya. Tujuan pemangkasan adalah untuk kesuburan, membentuk pokok, keselamatan, penggalakan dan pengeluaran bunga serta daun herba. Pemangkasan yang betul boleh mencantikkan pokok dan jika tersalah potong menyebabkan pokok hilang kecantikan, bentuk atau akan rosak. Memotong dahan yang mati atau cedera serta membuang tunas air juga termasuk dalam kerja pemangkasan untuk kesuburan pokok herba.

Jesteru itu, Pembinaan Landskap bagi tanaman herba adalah sangat penting kepada halaman samada halaman rumah terutama di kawasan bandar dan luar bandar kerana tanaman tersebut bukan sahaja mencantikkan kawasan tetapi ia juga untuk dijadikan ubat-ubatan untuk kegunaan penanamnya terutama kepada semua lapisan masyarakat samada untuk perubatan atau pun kecantikan bagi lelaki dan wanita.

Tanaman Pokok Puding

Posted on 6:49 PM




Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa dewasa ini begitu ramai individu sudah mahir dalam selok belok hiasan dalaman sejak terbitnya majalah-majalah berbahasa melayu berkaitan perkara sama. Ini disemarakkan lagi dengan kemunculan program-program televisyen yang membicarakan tentang hiasan dalaman selain daripada kewujudan atau pembukaan begitu banyak premis perniagaan hiasan dalaman yang menawarkan contoh-contoh terbaik menghias kediaman.

Tetapi pernahkah anda terfikir sekiranya melangkah ke luar kediaman, tahukah anda bagaimana untuk menghiaskannya seperti menghias ruang dalaman kediaman? Mencorak rupa landskap kediaman sebenarnya tidak banyak bezanya dengan bagaimana anda menghias ruang dalaman. Misi utama yang harus dilaksanakan ialah mengenal pasti tempat ruang utama dan perancangan untuk setiap satu ruang tersebut. Usaha pengenalpastian ini merupakan langkah penting ke arah memiliki landskap indah dan dalam masa praktikal, berfungsi. Ruang-ruang tersebut ialah ruang masuk, ruang parkir kereta, ruang utiliti dan ruang santai (luar).

Menilai sebuah taman seperti menilai seni tinggi. Bagi membantu mewujudkan taman impian keluasan ruang dan persekitaran perlu diambil kira. Tekstur juga memberi bentuk dan kesan mendalam pada sebuah taman. Pokok-pokok yang ditanam juga perlulah bertetapan dengan ruang-ruang yang dapat memberikan kesegaran, kecantikan dan keindahan taman.

Seni landskap turut mengklafikasikan kesesuaian pokok puding sebagai elemen pagaran. Ditanam di pinggir jalan dan taman rekreasi. Pokok Bunga Puding dipercayai berasal dari kepulauan Fiji, Australia dan Maluku. Pokok ini tidak berbunga tetapi daunnya unik dan berwarna warni. Ia boleh ditanam sebagai hiasan dalaman dengan menggunakan pasu tetapi memerlukan dedahan cahaya yang banyak. Species tumbuhan berbatas itu hanya mempamerkan keindahan warna dan reka bentuk daunnya saja. Turut sesuai ditanam secara kelompok sebagai tanaman tumpuan mudah diurus cara penanamannya dan harganya.

Puding yang mempunyai saiz daun yang lebar dibahagian hujung dan tepian yang licin dikenali sebagai Platifilum. Daun yang berpintal-pintal, kerinting dan tepi daun yang beralun panggil krispum. Manakala yang berdaun kecil dengan urat daun utama yang tertonjol adalah dari jenis Kornutum.

Puding jenis Lobatum mempunyai daun yang bercuping tiga dan lebar dibahagian tengah. Apaendikulatum pula dari jenis daun yang berbentuk garisan di bahagian tengah.

Puding dari Aucubifolium mempunyai daun yang kecil berwarna hijau berbintik kuning dimana daunnya berbentuk tirus ke arah pangkal.

Puding Connutum pula menyerlahkan daunnya seakan-akan bujur panjang dengan kedua-dua sisi yang hampir selari dan tidak simetri. Hujung daunnya berbentuk dempak dan sesetengahnya membulat. Tepi daunnya beralun dengan warna hijau muda dan bercampur dengan tompokan warna kuning terang.

Cara pembiakan pokok puding terlalu mudah menerusi keratan dahan, batang, cantuman sending ataupun tat. Kita boleh membuat pilihan sama ada untuk menanamnya dalam pasu ataupun di dalam lubang. Satu bahagian bahan organik. Tiga bahagian tanah dan baja dengan kadar 50 gram untuk setiap pokok yang hendak ditanam, memerlukan dedahan cahaya matahari dan suhu panas lembab dengan kesesuaian tanah paroi dan bekalan air yang sederhana.

Justeru itu, untuk mendapatkan sebuah taman landskap yang cantik kita harus mendekorasikannya dengan citarasa yang tersendiri. Memiliki taman yang cantik dengan tumbuh-tumbuhan yang menghijau memberi peluang kepada kita untuk sentiasa bersama-sama keluarga menghayati serta mengeratkan hubungan yang sedia terbina.

Panorama Indah Dengan landskap semulajadi

Posted on 6:43 PM

Seluas langit terbentang, seindah mata memandang. Itulah yang dikaitkan dengan alam semulajadi ciptaan tuhan yang indah dan menyegarkan. Oleh kerana itu,pelbagai pihak telah sama – sama menjayakan program hijaukan bumi yang ternyata memberi kesan kepada kehidupan manusia. Ramai yang cuba beralih kepada pembentukan persekitaran yang lebih damai dan menyejukkan tanpa merosakkan dan mencemarkan alam sekitar. Begitu juga dengan keindahan sebuah taman atau landskap yang tidak hanya bergantung kepada elemen pokok dan tanaman hijau sahaja. Malah banyak faktor lain yang turut menyumbang kepada pelengkap seni hiasan di taman dan landskap.Batu dan kayu, misalnya merupakan elemen semulajadi yang wujud sejak dahulu dan tidak dinafikan ia berperanan besar dalam kehidupan. Kini penggunaan elemen batu dan kayu semakin meluas dan menjadi elemen hiasan penyeri taman serta landskap.

BATU
Penggunaan elemen batu misalnya, menjadi pelengkap kepada pelbagai konsep taman Samaada berkonsep Jepun atau Zen, Bali, Tropika moden dan juga kontemporari. Batu memainkan peranan penting dalam menyerikan sesebuah taman disamping membuatkan konsep sesebuah taman tampak lebih semulajadi. Selain berupaya menjadikan taman kelihatan cantik,batu juga adalah bahan semulajadi yang tahan lama, kuat serta senang diselenggarakan.

Elemen ini amat memberikan efek yang menarik dalam pelbagai fungsi taman atau landskap bagi menjadikan hiasan itu nampak bersahaja dan ia juga susunan bagi membina kolam atau air terjun.Oleh itu penggunaan batu amat relevan jika disatukan bersama desiran air yang mengalir lembut dalam suasana tumbuhan yang menghijau dan berwarna – warni.Ini menjadikan suasana taman atau landskap menjadi amat tenang dan damai serta menyegarkan sesiapa sahaja yang mendekati.Malah elemen air ini dapat menyederhanakan suhu sekitar.Mengikut sumber, bunyi desiran air dapat menenangkan minda bagi sesiapa yang mendengar dan udara yang dihirup mempunyai banyak kandungan air yang mengandungi nutrient dari batuan dan amat baik untuk penggunaan otak manusia.

Elemen batu bukan sahaja didapati dalam bentuk semulajadi, tetapi ianya boleh ditempah mengikut kesukaan pengguna atau yang sudah tersiap sedia.Sebagai contoh tanamera, wall cladding stone yang menghiasi dinding luaran bangunan. Antara kegemaran penghias landskap taman adalah water feature pond yang didatangi dalam satu set dan berfungsi sebagai kolam air pancut.Ianya mempunyai dekorasi ukiran bunga pada batuan yang mengalirkan air pancut bagi menambah seri kolam tersebut.Penghias taman juga boleh menanam pokok-pokok hijau bagi mengindahkan water feature pond tersebut.Bagi negara Malaysia yang beriklim khatulistiwa, amat sesuai jika landskap dihiasi dengan water feature pond ini kerana landskap ini dapat menjadikan suhu sederhana ditambah pula dengan pokok – pokok yang segar menghijau menjadikan penghias taman mempunyai ruang yang selesa untuk berteduh.

Bak kata pepatah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Oleh itu susunatur batuan juga amat dititikberatkan.Jika tidak disusun secara teratur, taman akan kelihatan seakan tidak realistik dan membuatkan suasana menjadi tidak menarik.Langkah yang dapat diambil untuk mengatasi masalah itu ialah dengan membina sebuah rekabentuk dinding hiasan taman atau garden feature wall. Ia didatangi dalam pelbagai bentuk dan saiz.Kebiasaannya garden feature wall ini ditempatkan di sudut – sudut taman yang strategik agar ia menjadi titik tumpu(focal point) sekaligus dapat menutup kecacatan terhadap taman tersebut.Kebanyakan penghias tanam membina feature wall dalam rekabentuk kontemporari dimana idea ini amat mudah dibentuk dan amat praktikal bagi suasana tropika.

Penggunaan Pasu

Indah nama kerana tuannya, indah pokok kerana pasunya.Tidak lengkap jika hanya menanam pokok didalam pasu yang biasa dan tidak bermotif.Tidak salah sekiranya penghias taman mengorak langkah kepada taman yang lebih bergaya menerusi pemilihan pasu yang beraneka bentuk. Antara pasu yang digemari penghias taman adalah dari jenis Square Pot, Round Pot dan Pasu Air. Square pot adalah pasu yang mempunyai bukaan mulut berbentuk segi empat, segi empat sama atau segi empat tepat. Ia di datangi dalam pelbagai warna dan saiz. Pemilihan warna yang tepat akan membuatkan taman kelihatan cantik dan menarik.Oleh itu jika pemilihan pasu yang tidak berwarna, gunakanlah pokok berbunga bagi menambah seri dan kontra terhadap pasu tersebut. Rekaannya adalah menepati citarasa moden kontemporari dan clean cut. Kemasannya boleh didatangi dalam sentuhan rustic, berkilat dan bercat manakala materialnya adalah dari campuran tanah liat dan terracotta. Tip penjagaan bagi penggemar Square Pot ini ialah ia amat berguna bagi tanaman yang mempunyai akar berserabut kerana ia mampu menampung kandungan tanah yang lebih.Ia juga memberi ruang untuk pertumbuhan tanaman yang sukar dikawal.

Amat bersesuaian jika digabungkan pasu yang berbentuk bulat atau Round Pot pada taman anda kerana ia akan menampakan suatu dekorasi yang berkonsepkan organik.Ia adalah satu langkah penyelesaian yang mudah bagi penghias taman yang buntu apabila membuat pilihan. Round Pot mempunyai bukaan mulut yang bulat dan mudah untuk diselenggara.Perkembangan akar juga dapat dibentuk dengan baik dan pengaliran air dalam tanah akan lancar. Di datangi dalam pelbagai saiz dan warna.Jika inginkan keceriaan pada taman, pilihlah pasu yang berwarna terang dan digabungi dengan gubahan bunga segar dalam keadaan merimbun.Pasti memukau sesiapa yang melihat.Antara tip-tip bagi penjagaan bunga untuk pasu bulat ini ialah lakukan penyiraman dengan lebih kerap kerana pasu ini mempunyai material polos yang cepat meresap air terutamanya pada waktu panas.Semakin Besar pasu semakin besar saiz tanaman.Oleh itu gunakanlah pasu yang kecil jika ingin mengawal pertumbuhannya.

Tidak sempurna tanaman jika tidak mempunyai air. Oleh kerana itu Pasu air atau Water Pot dicipta bagi penggemar laman yang inginkan tanaman akuatik.Amat mudah diselenggara pada bila-bila masa.Pasu air ini memerlukan bukaan mulut yang luas tetapi saiz yang lebih rendah bertujuan menampung air.Amat sesuai untuk dipadankan diatas meja hiasan bersama jamuan minum petang anda agar pasu ini menjadi titik fokal dan pembuka bicara anda bersama rakan-rakan.Pasu ini di datangi dengan pelbagai koleksi kemasan berkilat, tanpa sebarang kemasan atau separa kemasan. Antara tip penjagaan pasu air ini ialah pastikan tidak terdapat lubang di permukaan dasar pasu ini.Elakan menggunakan pasu berkilat (glazed pot) kerana ia akan menyebabkan haba terkumpul dan air akan panas. Ini akan menyebabkan tumbuhan akuatik rosak.

KAYU

Jika dibandingkan dengan elemen batuan, elemen kayu amat sinonim dengan tumbuhan landskap kerana kayu juga adalah sebahagian daripada tumbuhan. Oleh itu tidak hidup suatu tanam tanpa kehadiran elemen kayu.Bagi penggemar seni pula, kayu mempunyai aspek kesenian yang amat tinggi samaada dari rupa bentuknya atau urat-urat pada bahagian permukaannya.Semakin using kayu tersebut, semakin unik hiasan tersebut.Ada sesetengah peminat sanggup membeli kayu using yang telah diawet dengan harga ribuan ringgit hanya untuk kepuasan mata memandang dan jika disatukan dengan hiasan tanam, ia akan memberikan suatu suasana yang memukau mata si pemandang dan akan menjadi buah bicara.

Pada masa kini,penggunaan elemen kayu amat popular dikalangan pencinta taman kerana ia amat mudah dipasang dan mempunyai kualiti yang tahan lama.Sebagai contoh penggunaan kayu cengal yang semakin digilai penghias taman.Antara produk kayu cengal yang semakin popular ialah meja taman, lampu taman, lampu siling, bidai, pergola dan lain-lain lagi. Bagi penghias taman yang mempunyai kolam,penggunaan pelantar konkrit boleh ditukarkan kepada pelantar kayu.Ia lebih fleksibel dan unik serta memberikan kelainan pada kolam anda.Pemilihan jenis-jenis kayu mestilah menepati supaya masalah pelantar kayu yang kurang menarik dapat dielakkan.Aplikasi pelantar kayu atau dek bukanlah suatu elemen baru bagi menghias kolam malah Material dan dominasi struktur dek dapat memberi mood natural dan semulajadi kepada pengguna serta kekuatan dek itu sendiri yang tahan lama.Fungsi pelantar kayu atau dek ini adalah bertujuan untuk menutup ruang yang kurang menarik atau longkang yang boleh mencacatkan pemandangan pada kolam atau taman.

Tentu ada dikalangan penghias taman kurang percaya tentang pembinaan dek ini,tetapi disini terdapat beberapa aspek pemilihan yang dapat dikongsi supaya penghias taman dapat membuat pilihan serta mempunyai sebuah dek yang diidam-idamkan.Pembinaan dek yang baik dapat bertahan selama 20 tahun, oleh itu terdapat tiga kriteria utama yang menentukan kualiti dan kesempurnaan sesebuah dek.Antara kriteria tersebut adalah memilih gred atau kualiti kayu yang terbaik, mengenal pasti sistem pemasangan yang betul serta memilih spesis kayu yang betul untuk digunakan.Dalam pembinaan pelantar kayu, penggunaan kayu lembut memonopoli penggunaan kayu keras kerana harganya lebih murah dan mudah diselenggara.Namun begitu penggunaan kayu keras masih menjadi pilihan kerana faktor warna yang begitu menarik serta tahan lama.Kayu keras juga mempunyai ketumpatan yang tinggi dan tahan lasak berbanding kayu lembut.

Apa yang dapat disimpulkan disini ialah, penggunaan elemen semulajadi seperti batu dan kayu bukanlah suatu perkara baru dalam dunia landskap.Penggunaan elemen ini telah berevolusi dari semasa ke semasa supaya penghias taman mendapat kepuasan yang maksima apabila menghias taman mereka.Elemen ini juga mudah didapati dan mempunyai pelbagai saiz, corak dan warna yang menarik. Bagi penghias taman yang inginkan penjimatan bolehlah membuat sendiri bentuk landskap yang diingini menggunakan elemen ini.Penggunaan elemen ini amat mudah dan berkesan bagi menghidupkan suasana taman sekaligus menyahut seruan menghijaukan bumi yang ternyata memberi kesan terhadap persekitaran dan udara yang nyaman tanpa pencemaran.Diharap elemen ini akan terus digunakan agar landskap akan lebih menjadi indah serta nyaman sekaligus mengelakkan pencemaran yang semakin serius.

Landskap Taman Pemangkin Kesihatan

Posted on 9:05 PM


Seringkali landskap taman dikaitkan dengan fungsinya sebagai penyeri sesuatu kawasan samada di halaman kediaman, premis bangunan mahupun pusat riadah dan rekreasi. Pernahkah anda terfikir bahawa landskap taman juga mampu berfungsi sebagai pemangkin kesihatan diri? Artikel ini akan membincangkan beberapa fungsi landskap taman dalam konteks kesihatan yang berkemungkinan jarang diberikan perhatian.

Tidak dapat dinafikan kesihatan diri samada mental atau fizikal amat penting dalam kehidupan seseorang manusia terutamanya dalam persekitaran yang serba mencabar dewasa ini. Kesibukan bekerja, stress, kurang bersenam, gaya pemakanan, pencemaran alam, dan sebagainya merupakan antara penyebab kesihatan diri terjejas. Rumah adalah tempat yang terbaik untuk merehatkan diri selepas kepenatan seharian bekerja. Persekitaran yang tenang, tenteram, aman, cantik dipandangan mata amat diperlukan bagi tujuan tersebut. Kewujudan landskap taman di tempat-tempat kediaman mampu menawarkan persekitaran yang dimaksudkan.

Bagaimana landskap taman boleh dikatakan sebagai pemangkin kesihatan?. Bagi menjawab persolan tersebut kita akan melihat beberapa fungsinya seperti mengawal edaran gas, terapi minda, herba sebagai ubat-ubatan semulajadi, riadah dan senaman.


Mengawal Edaran Gas
Tumbuh-tumbuhan penting sebagai unsur yang boleh mengawal gas oksigen dan gas karbon dioksida. Tumbuhan memerlukan gas karbon dioksida sebagai alat untuk memproses makanannya. Dalam proses menghasilkan makanan itu tumbuhan hijau akan meyerap gas karbon dioksida dan membebaskan gas oksigen sebagai hasil sampingan daripada proses itu. Manusia pula memerlukan gas oksigen untuk bernafas.



Minda yang baik dan tubuh yang sihat memerlukan kandungan oksigen yang banyak. Dengan adanya tumbuhan hijau di kawasan kediaman maka keseimbangan kedua-dua gas dalam udara dapat dikekalkan. Kesihatan manusia juga akan turut meningkat. Bagi masyarakat yang tinggal di kawasan bandar dan kawasan perumahan, boleh dikatakan mustahil untuk menikmati suasana dipenuhi tumbuh-tubuhan sepertimana di kampung. Untuk itu lanskap taman diperlukan sebagai alternatifnya.

Terapi Fizikal dan Minda
Fizikal dan minda merupakan elemen terpenting dalam diri setiap insan. Ianya saling berkaitan. Minda yang sihat akan memberi kesan yang baik terhadap pencapaian fizikal begitu juga fizikal yang cergas akan menghasilkan minda yang cerdas. Bagi memastikan kedua-dua elemen ini berfungsi dengan cemerlang maka rehat yang cukup amatlah diperlukan.

Kehadiran landskap taman memberikan terapi kepada fizikal dan minda. Keindahan pemandagan taman beserta dengan elemen bunyian seperti jatuhan air dan kincir angin akan memberikan ketenangan jiwa. Norakmah Mat Youb dalam artikelnya Landskap- Laman sebagai terapi ketenangan menyatakan bahawa ” mewujudkan air pancutan atau tanaman menarik pelbagai warna adalah hadiah istimewa bagi yang memerlukan terapi. Selain itu mewujudkan ruang yang mempunyai persamaan dengan tempat yang pernah dilawati mampu meransang minda kanak-kanak sekaligus meningkatkan keupayaan kemahiran mengingat mereka”.

Herba Sumber Ubatan Tradisonal
Sejak zaman dahulu sehingga kini, tumbuh-tumbuhan amat berpengaruh dalam kehidupan manusia terutamanya sebagai penawar kepada pelbagai jenis penyakit. Ia telah digunakan sebagai ubat bukan sahaja dalam perubatan tradisional tetapi juga dalam perubatan moden. Ada pula di kalangan tumbuhan berubat ini berupaya mengubati penyakit yang tidak dapat diubati dengan menggunakan ubatan moden.



Gomphrena globosa L atau Bunga Butang

Ramai yang tidak menyedari sebenarnya pokok-pokok perhiasan juga antaranya merupakan pokok herba yang berfungsi sebagai ubat. Sebagai contoh Gomphrena globosa L. adalah nama sains bagi bunga butang. Ia tergolong dalam famili Amaranthaceae. Bunga butang ini merupakan sejenis herba semusim yang berasal dari kawasan Tropika Amerika dan biasanya terdapat di kebun-kebun dan taman-taman bunga. Batangnya lembut dan mencapai ketinggian 30cm hingga 90 cm. Pokok ini dibiakkan dengan menanam biji benih. Bunga butang ini dikatakan boleh digunakan untuk mengubati batuk dimana akarnya direbus dan diminum. Terdapat pebagai lagi jenis pokok hiasan yang boleh dijadikan lanskap taman dan dimanfaatkan kegunaanya untuk tujuan perubatan. Antaranya Misai Kucing, Lidah Jin, Pegaga, Lidah Buaya dan bermacam-macam lagi.

Riadah dan Senaman
Aktiviti menanam dan memilihara pokok di taman merupakan satu jenis senaman atau riadah yang baik untuk kesihatan. Menurut Dan Hickey bekas editor Majalah National Gardening melalui penyelidikan yang beliau lakukan medapati bahawa 45 minit bercucuk tanam dapat membakar sebanyak mana kalori seperti menunggang basikal selama 30 minit. Bagi golongan yang berumur terutamanya wanita, aktiviti ini dapat membantu mengurangkan masalah osteoporosis. Sepertimana aktiviti senaman yang lain, aktiviti berkebun boleh membantu mengurangkan tekanan darah rendah, mengawal tahap kolestrol dan mengelak dari masalah sakit jantung, kencing manis dan pelbagai penyakit yang dikaitkan dengan masalah kegemukan atau obesiti. Memiliki lanskap taman di kediaman dengan secara tidak langsung menyediakan ruang kepada penghuni untuk merapatkan hubungan keluarga melalui aktiviti bercucuk tanam dan riadah yang menyihatkan.

Landskap taman juga dapat diisi dengan laluan berjalan kaki yang berbatu krikil. Refleksologi atau kaedah rawatan urutan tapak kaki sememangnya cukup popular di masa kini. Ianya dikatakan baik untuk kesihatan dan dapat menyahkan toksin dalam badan. Dengan melalui laluan berbatu tanpa memakai kasut kita juga mampu menjalankan kaedah refleksologi di taman sendiri.

Kesimpulannya, kehadiran landskap taman di halaman kediaman bukanlah hanya untuk mengisi ruang dan mengindahkan pemandangan semata-mata. Selain dari mencuri tumpuan ia juga mampu memberikan faedah kepada penjagaan kesihatan. Fungsi landskap taman dalam mengawal keseimbangan gas, sebagai alat terapi minda, pembekal ubat-ubatan semulajadi, penggalak aktiviti riadah dan senaman menjadi bukti bahawa ianya adalah pemangkin kesihatan diri dan keluarga. Menerusi pelbagai kaedah dan cara yang ada pada masa sekarang, landskap taman mampu dibina di kawasan kediaman tidak kira di bandar ataupun di desa. Justeru, landskap taman sewajarnya dimiliki oleh setiap kediaman agar gaya hidup sihat dijadikan amalan yang berterusan.

Indahnya Bumi Tuhan

Posted on 8:43 PM



Cuba lihat dan hayati. Hijau dedaun, mekar kelopak bunga, serangga beriringan, hujan membasahi bumi, titisan embun pagi, dingin hembusan angin, sinar mentari dan banyak lagi yang tidak mampu dicatatkan di sini adalah sebahagian daripada kebijaksanaan Tuhan Maha Pencipta semesta alam. Dia merencanakan semuanya mengikut jadual tanpa sebarang kesilapan. Maka seharusnya kita yang dibekalkan akal dapat menggunakan segala nikmat yang diberikan dengan sepenuh kesedaran, tanggunjawab, amanah, berpandangan jauh serta prihatin dengan apa jua bentuk kerosakan yang terjadi di muka bumi ini.
Mengapa kita suka melihat keindahan lanskap taman, penuh dengan tanaman hiasan indah, disempurnakan pula dengan pelbagai idea kreatif seni hiasan taman beserta aksesori lainnya? Tanya pada diri sendiri dan akuilah bahawa keindahan itu cukup menyenangkan jiwa kita. Serasa damai dan tenteram melihat keharmonian elemen taman yang bersatu dalam ruang halaman baik kecil mahupun besar.
Terpanggil saya untuk mencoret perasaan sayu di hati apabila melihat semakin banyak kerosakan yang kita lakukan ke atas muka bumi ini hingga sanggup mengabaikan kesejahteraan hidup masa hadapan kita dan generasi akan datang. Pemanasan global semakin mencengkam akibat kerakusan kita memusnahkan hutan hujan tropika yang dihuni pokok-pokok besar, bertindak sebagai elemen pendingin untuk menyederhanakan suhu sekeliling. Memang benar, pembangunan tidak dapat dielakkan. Manusia sentiasa bersaing mendapatkan ruang bagi meneruskan kehidupan. Namun, ini tidak seharusnya dijadikan alasan atau lesen untuk kita bertindak sesuka hati yang bersifat memusnahkan hutan dan alam sekitar tanpa dikawal.
Justeru itu, wajarlah kita mencuri ruang untuk berusaha memulihkan walaupun tidak 100 peratus dengan memulakan aktiviti menanam pokok, samaada kecil atau besar di halaman kediaman ataupun di taman perumahan dan permis perniagaan. Sumbangan yang sedikit ini jika dilakukan secara sistematik dan beramai-ramai, pasti akan membuahkan hasil terbaik.
Keindahan alam harus dinikmati kerana pemandangan yang indah membahagiakan semua. Seperti saya sendiri, keindahan pemandangan tasik, kehijauan pokok, hamparan rumput menghijau di hadapan kediaman sebaik membuka tingkap benar-benar memberi semangat, tenaga dan kebahagiaan sebagai bekalan sepanjang menjalani kehidupan seharian. Oleh yang demikian, bukalah hati dan mulakan sekarang dengan menanam pokok walaupun sebatang di halaman kita.

“Selamatkan alam sekitar kita. Sayangi bumi ini”

Salam Dari Warga Laman Citra

Posted on 8:40 PM

Laman Citra

Kami merupakan sebuah syarikat perunding dan pembina yang menawarkan kepakaran dalam bidang pembinaan lanskap hiasan.

Kepuasan pelanggan merupakan iltizam kami dan kualiti adalah terjamin.

Search This Blog

free hit counter code
Provided by website designers directory.

Editorial



TEAM LAMAN CITRA

EDITOR

Arizal Abdullah
arizalpenpls@yahoo.com
Tel: 019-5439456
WARTAWAN

Arizal Abdullah 122052


Saadiah Shapiee 122266


Mohd Fahmi Adam 118657

Norhapiza Marzuki
122214


Mohd Khaibir Yusof
122153


Masita Bahari 122125

PENGARAH KREATIFArizal Abdullah
PENGARAH SENI KANANAbdul Yazid Mahat
PEREKA GRAFIKKhaibir


JURUFOTO

Arizal Abdullah

Mohd Fahmi Adam

PEN. PENGURUS BESAR JUALAN IKLANMohd Fahmi Adam
EKSEKUTIF PENGIKLANANMasita Bahari
H/P : 012-1234567
Tel : 03-12345678
Faks : 03-23456789
E-mel:

UNIT WEB
PENOLONG EDITORMohd Khaibir Yusof
e-mel:
PEREKALETAKNorhapizah Marzuki
PEMBANGUN LAMAN Saadiah Shapiee

Impian Anda Kami Penuhi

Impian Anda Kami Penuhi
Untuk Sebarang Tempahan dan Pertanyaan Hubungi Laman Citra di : 04-912345

Laman Hari Ini

Laman Hari Ini