Seringkali landskap taman dikaitkan dengan fungsinya sebagai penyeri sesuatu kawasan samada di halaman kediaman, premis bangunan mahupun pusat riadah dan rekreasi. Pernahkah anda terfikir bahawa landskap taman juga mampu berfungsi sebagai pemangkin kesihatan diri? Artikel ini akan membincangkan beberapa fungsi landskap taman dalam konteks kesihatan yang berkemungkinan jarang diberikan perhatian.

Tidak dapat dinafikan kesihatan diri samada mental atau fizikal amat penting dalam kehidupan seseorang manusia terutamanya dalam persekitaran yang serba mencabar dewasa ini. Kesibukan bekerja, stress, kurang bersenam, gaya pemakanan, pencemaran alam, dan sebagainya merupakan antara penyebab kesihatan diri terjejas. Rumah adalah tempat yang terbaik untuk merehatkan diri selepas kepenatan seharian bekerja. Persekitaran yang tenang, tenteram, aman, cantik dipandangan mata amat diperlukan bagi tujuan tersebut. Kewujudan landskap taman di tempat-tempat kediaman mampu menawarkan persekitaran yang dimaksudkan.

Bagaimana landskap taman boleh dikatakan sebagai pemangkin kesihatan?. Bagi menjawab persolan tersebut kita akan melihat beberapa fungsinya seperti mengawal edaran gas, terapi minda, herba sebagai ubat-ubatan semulajadi, riadah dan senaman.


Mengawal Edaran Gas
Tumbuh-tumbuhan penting sebagai unsur yang boleh mengawal gas oksigen dan gas karbon dioksida. Tumbuhan memerlukan gas karbon dioksida sebagai alat untuk memproses makanannya. Dalam proses menghasilkan makanan itu tumbuhan hijau akan meyerap gas karbon dioksida dan membebaskan gas oksigen sebagai hasil sampingan daripada proses itu. Manusia pula memerlukan gas oksigen untuk bernafas.



Minda yang baik dan tubuh yang sihat memerlukan kandungan oksigen yang banyak. Dengan adanya tumbuhan hijau di kawasan kediaman maka keseimbangan kedua-dua gas dalam udara dapat dikekalkan. Kesihatan manusia juga akan turut meningkat. Bagi masyarakat yang tinggal di kawasan bandar dan kawasan perumahan, boleh dikatakan mustahil untuk menikmati suasana dipenuhi tumbuh-tubuhan sepertimana di kampung. Untuk itu lanskap taman diperlukan sebagai alternatifnya.

Terapi Fizikal dan Minda
Fizikal dan minda merupakan elemen terpenting dalam diri setiap insan. Ianya saling berkaitan. Minda yang sihat akan memberi kesan yang baik terhadap pencapaian fizikal begitu juga fizikal yang cergas akan menghasilkan minda yang cerdas. Bagi memastikan kedua-dua elemen ini berfungsi dengan cemerlang maka rehat yang cukup amatlah diperlukan.

Kehadiran landskap taman memberikan terapi kepada fizikal dan minda. Keindahan pemandagan taman beserta dengan elemen bunyian seperti jatuhan air dan kincir angin akan memberikan ketenangan jiwa. Norakmah Mat Youb dalam artikelnya Landskap- Laman sebagai terapi ketenangan menyatakan bahawa ” mewujudkan air pancutan atau tanaman menarik pelbagai warna adalah hadiah istimewa bagi yang memerlukan terapi. Selain itu mewujudkan ruang yang mempunyai persamaan dengan tempat yang pernah dilawati mampu meransang minda kanak-kanak sekaligus meningkatkan keupayaan kemahiran mengingat mereka”.

Herba Sumber Ubatan Tradisonal
Sejak zaman dahulu sehingga kini, tumbuh-tumbuhan amat berpengaruh dalam kehidupan manusia terutamanya sebagai penawar kepada pelbagai jenis penyakit. Ia telah digunakan sebagai ubat bukan sahaja dalam perubatan tradisional tetapi juga dalam perubatan moden. Ada pula di kalangan tumbuhan berubat ini berupaya mengubati penyakit yang tidak dapat diubati dengan menggunakan ubatan moden.



Gomphrena globosa L atau Bunga Butang

Ramai yang tidak menyedari sebenarnya pokok-pokok perhiasan juga antaranya merupakan pokok herba yang berfungsi sebagai ubat. Sebagai contoh Gomphrena globosa L. adalah nama sains bagi bunga butang. Ia tergolong dalam famili Amaranthaceae. Bunga butang ini merupakan sejenis herba semusim yang berasal dari kawasan Tropika Amerika dan biasanya terdapat di kebun-kebun dan taman-taman bunga. Batangnya lembut dan mencapai ketinggian 30cm hingga 90 cm. Pokok ini dibiakkan dengan menanam biji benih. Bunga butang ini dikatakan boleh digunakan untuk mengubati batuk dimana akarnya direbus dan diminum. Terdapat pebagai lagi jenis pokok hiasan yang boleh dijadikan lanskap taman dan dimanfaatkan kegunaanya untuk tujuan perubatan. Antaranya Misai Kucing, Lidah Jin, Pegaga, Lidah Buaya dan bermacam-macam lagi.

Riadah dan Senaman
Aktiviti menanam dan memilihara pokok di taman merupakan satu jenis senaman atau riadah yang baik untuk kesihatan. Menurut Dan Hickey bekas editor Majalah National Gardening melalui penyelidikan yang beliau lakukan medapati bahawa 45 minit bercucuk tanam dapat membakar sebanyak mana kalori seperti menunggang basikal selama 30 minit. Bagi golongan yang berumur terutamanya wanita, aktiviti ini dapat membantu mengurangkan masalah osteoporosis. Sepertimana aktiviti senaman yang lain, aktiviti berkebun boleh membantu mengurangkan tekanan darah rendah, mengawal tahap kolestrol dan mengelak dari masalah sakit jantung, kencing manis dan pelbagai penyakit yang dikaitkan dengan masalah kegemukan atau obesiti. Memiliki lanskap taman di kediaman dengan secara tidak langsung menyediakan ruang kepada penghuni untuk merapatkan hubungan keluarga melalui aktiviti bercucuk tanam dan riadah yang menyihatkan.

Landskap taman juga dapat diisi dengan laluan berjalan kaki yang berbatu krikil. Refleksologi atau kaedah rawatan urutan tapak kaki sememangnya cukup popular di masa kini. Ianya dikatakan baik untuk kesihatan dan dapat menyahkan toksin dalam badan. Dengan melalui laluan berbatu tanpa memakai kasut kita juga mampu menjalankan kaedah refleksologi di taman sendiri.

Kesimpulannya, kehadiran landskap taman di halaman kediaman bukanlah hanya untuk mengisi ruang dan mengindahkan pemandangan semata-mata. Selain dari mencuri tumpuan ia juga mampu memberikan faedah kepada penjagaan kesihatan. Fungsi landskap taman dalam mengawal keseimbangan gas, sebagai alat terapi minda, pembekal ubat-ubatan semulajadi, penggalak aktiviti riadah dan senaman menjadi bukti bahawa ianya adalah pemangkin kesihatan diri dan keluarga. Menerusi pelbagai kaedah dan cara yang ada pada masa sekarang, landskap taman mampu dibina di kawasan kediaman tidak kira di bandar ataupun di desa. Justeru, landskap taman sewajarnya dimiliki oleh setiap kediaman agar gaya hidup sihat dijadikan amalan yang berterusan.