Cuba lihat dan hayati. Hijau dedaun, mekar kelopak bunga, serangga beriringan, hujan membasahi bumi, titisan embun pagi, dingin hembusan angin, sinar mentari dan banyak lagi yang tidak mampu dicatatkan di sini adalah sebahagian daripada kebijaksanaan Tuhan Maha Pencipta semesta alam. Dia merencanakan semuanya mengikut jadual tanpa sebarang kesilapan. Maka seharusnya kita yang dibekalkan akal dapat menggunakan segala nikmat yang diberikan dengan sepenuh kesedaran, tanggunjawab, amanah, berpandangan jauh serta prihatin dengan apa jua bentuk kerosakan yang terjadi di muka bumi ini.
Mengapa kita suka melihat keindahan lanskap taman, penuh dengan tanaman hiasan indah, disempurnakan pula dengan pelbagai idea kreatif seni hiasan taman beserta aksesori lainnya? Tanya pada diri sendiri dan akuilah bahawa keindahan itu cukup menyenangkan jiwa kita. Serasa damai dan tenteram melihat keharmonian elemen taman yang bersatu dalam ruang halaman baik kecil mahupun besar.
Terpanggil saya untuk mencoret perasaan sayu di hati apabila melihat semakin banyak kerosakan yang kita lakukan ke atas muka bumi ini hingga sanggup mengabaikan kesejahteraan hidup masa hadapan kita dan generasi akan datang. Pemanasan global semakin mencengkam akibat kerakusan kita memusnahkan hutan hujan tropika yang dihuni pokok-pokok besar, bertindak sebagai elemen pendingin untuk menyederhanakan suhu sekeliling. Memang benar, pembangunan tidak dapat dielakkan. Manusia sentiasa bersaing mendapatkan ruang bagi meneruskan kehidupan. Namun, ini tidak seharusnya dijadikan alasan atau lesen untuk kita bertindak sesuka hati yang bersifat memusnahkan hutan dan alam sekitar tanpa dikawal.
Justeru itu, wajarlah kita mencuri ruang untuk berusaha memulihkan walaupun tidak 100 peratus dengan memulakan aktiviti menanam pokok, samaada kecil atau besar di halaman kediaman ataupun di taman perumahan dan permis perniagaan. Sumbangan yang sedikit ini jika dilakukan secara sistematik dan beramai-ramai, pasti akan membuahkan hasil terbaik.
Keindahan alam harus dinikmati kerana pemandangan yang indah membahagiakan semua. Seperti saya sendiri, keindahan pemandangan tasik, kehijauan pokok, hamparan rumput menghijau di hadapan kediaman sebaik membuka tingkap benar-benar memberi semangat, tenaga dan kebahagiaan sebagai bekalan sepanjang menjalani kehidupan seharian. Oleh yang demikian, bukalah hati dan mulakan sekarang dengan menanam pokok walaupun sebatang di halaman kita.

“Selamatkan alam sekitar kita. Sayangi bumi ini”