Seluas langit terbentang, seindah mata memandang. Itulah yang dikaitkan dengan alam semulajadi ciptaan tuhan yang indah dan menyegarkan. Oleh kerana itu,pelbagai pihak telah sama – sama menjayakan program hijaukan bumi yang ternyata memberi kesan kepada kehidupan manusia. Ramai yang cuba beralih kepada pembentukan persekitaran yang lebih damai dan menyejukkan tanpa merosakkan dan mencemarkan alam sekitar. Begitu juga dengan keindahan sebuah taman atau landskap yang tidak hanya bergantung kepada elemen pokok dan tanaman hijau sahaja. Malah banyak faktor lain yang turut menyumbang kepada pelengkap seni hiasan di taman dan landskap.Batu dan kayu, misalnya merupakan elemen semulajadi yang wujud sejak dahulu dan tidak dinafikan ia berperanan besar dalam kehidupan. Kini penggunaan elemen batu dan kayu semakin meluas dan menjadi elemen hiasan penyeri taman serta landskap.

BATU
Penggunaan elemen batu misalnya, menjadi pelengkap kepada pelbagai konsep taman Samaada berkonsep Jepun atau Zen, Bali, Tropika moden dan juga kontemporari. Batu memainkan peranan penting dalam menyerikan sesebuah taman disamping membuatkan konsep sesebuah taman tampak lebih semulajadi. Selain berupaya menjadikan taman kelihatan cantik,batu juga adalah bahan semulajadi yang tahan lama, kuat serta senang diselenggarakan.

Elemen ini amat memberikan efek yang menarik dalam pelbagai fungsi taman atau landskap bagi menjadikan hiasan itu nampak bersahaja dan ia juga susunan bagi membina kolam atau air terjun.Oleh itu penggunaan batu amat relevan jika disatukan bersama desiran air yang mengalir lembut dalam suasana tumbuhan yang menghijau dan berwarna – warni.Ini menjadikan suasana taman atau landskap menjadi amat tenang dan damai serta menyegarkan sesiapa sahaja yang mendekati.Malah elemen air ini dapat menyederhanakan suhu sekitar.Mengikut sumber, bunyi desiran air dapat menenangkan minda bagi sesiapa yang mendengar dan udara yang dihirup mempunyai banyak kandungan air yang mengandungi nutrient dari batuan dan amat baik untuk penggunaan otak manusia.

Elemen batu bukan sahaja didapati dalam bentuk semulajadi, tetapi ianya boleh ditempah mengikut kesukaan pengguna atau yang sudah tersiap sedia.Sebagai contoh tanamera, wall cladding stone yang menghiasi dinding luaran bangunan. Antara kegemaran penghias landskap taman adalah water feature pond yang didatangi dalam satu set dan berfungsi sebagai kolam air pancut.Ianya mempunyai dekorasi ukiran bunga pada batuan yang mengalirkan air pancut bagi menambah seri kolam tersebut.Penghias taman juga boleh menanam pokok-pokok hijau bagi mengindahkan water feature pond tersebut.Bagi negara Malaysia yang beriklim khatulistiwa, amat sesuai jika landskap dihiasi dengan water feature pond ini kerana landskap ini dapat menjadikan suhu sederhana ditambah pula dengan pokok – pokok yang segar menghijau menjadikan penghias taman mempunyai ruang yang selesa untuk berteduh.

Bak kata pepatah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Oleh itu susunatur batuan juga amat dititikberatkan.Jika tidak disusun secara teratur, taman akan kelihatan seakan tidak realistik dan membuatkan suasana menjadi tidak menarik.Langkah yang dapat diambil untuk mengatasi masalah itu ialah dengan membina sebuah rekabentuk dinding hiasan taman atau garden feature wall. Ia didatangi dalam pelbagai bentuk dan saiz.Kebiasaannya garden feature wall ini ditempatkan di sudut – sudut taman yang strategik agar ia menjadi titik tumpu(focal point) sekaligus dapat menutup kecacatan terhadap taman tersebut.Kebanyakan penghias tanam membina feature wall dalam rekabentuk kontemporari dimana idea ini amat mudah dibentuk dan amat praktikal bagi suasana tropika.

Penggunaan Pasu

Indah nama kerana tuannya, indah pokok kerana pasunya.Tidak lengkap jika hanya menanam pokok didalam pasu yang biasa dan tidak bermotif.Tidak salah sekiranya penghias taman mengorak langkah kepada taman yang lebih bergaya menerusi pemilihan pasu yang beraneka bentuk. Antara pasu yang digemari penghias taman adalah dari jenis Square Pot, Round Pot dan Pasu Air. Square pot adalah pasu yang mempunyai bukaan mulut berbentuk segi empat, segi empat sama atau segi empat tepat. Ia di datangi dalam pelbagai warna dan saiz. Pemilihan warna yang tepat akan membuatkan taman kelihatan cantik dan menarik.Oleh itu jika pemilihan pasu yang tidak berwarna, gunakanlah pokok berbunga bagi menambah seri dan kontra terhadap pasu tersebut. Rekaannya adalah menepati citarasa moden kontemporari dan clean cut. Kemasannya boleh didatangi dalam sentuhan rustic, berkilat dan bercat manakala materialnya adalah dari campuran tanah liat dan terracotta. Tip penjagaan bagi penggemar Square Pot ini ialah ia amat berguna bagi tanaman yang mempunyai akar berserabut kerana ia mampu menampung kandungan tanah yang lebih.Ia juga memberi ruang untuk pertumbuhan tanaman yang sukar dikawal.

Amat bersesuaian jika digabungkan pasu yang berbentuk bulat atau Round Pot pada taman anda kerana ia akan menampakan suatu dekorasi yang berkonsepkan organik.Ia adalah satu langkah penyelesaian yang mudah bagi penghias taman yang buntu apabila membuat pilihan. Round Pot mempunyai bukaan mulut yang bulat dan mudah untuk diselenggara.Perkembangan akar juga dapat dibentuk dengan baik dan pengaliran air dalam tanah akan lancar. Di datangi dalam pelbagai saiz dan warna.Jika inginkan keceriaan pada taman, pilihlah pasu yang berwarna terang dan digabungi dengan gubahan bunga segar dalam keadaan merimbun.Pasti memukau sesiapa yang melihat.Antara tip-tip bagi penjagaan bunga untuk pasu bulat ini ialah lakukan penyiraman dengan lebih kerap kerana pasu ini mempunyai material polos yang cepat meresap air terutamanya pada waktu panas.Semakin Besar pasu semakin besar saiz tanaman.Oleh itu gunakanlah pasu yang kecil jika ingin mengawal pertumbuhannya.

Tidak sempurna tanaman jika tidak mempunyai air. Oleh kerana itu Pasu air atau Water Pot dicipta bagi penggemar laman yang inginkan tanaman akuatik.Amat mudah diselenggara pada bila-bila masa.Pasu air ini memerlukan bukaan mulut yang luas tetapi saiz yang lebih rendah bertujuan menampung air.Amat sesuai untuk dipadankan diatas meja hiasan bersama jamuan minum petang anda agar pasu ini menjadi titik fokal dan pembuka bicara anda bersama rakan-rakan.Pasu ini di datangi dengan pelbagai koleksi kemasan berkilat, tanpa sebarang kemasan atau separa kemasan. Antara tip penjagaan pasu air ini ialah pastikan tidak terdapat lubang di permukaan dasar pasu ini.Elakan menggunakan pasu berkilat (glazed pot) kerana ia akan menyebabkan haba terkumpul dan air akan panas. Ini akan menyebabkan tumbuhan akuatik rosak.

KAYU

Jika dibandingkan dengan elemen batuan, elemen kayu amat sinonim dengan tumbuhan landskap kerana kayu juga adalah sebahagian daripada tumbuhan. Oleh itu tidak hidup suatu tanam tanpa kehadiran elemen kayu.Bagi penggemar seni pula, kayu mempunyai aspek kesenian yang amat tinggi samaada dari rupa bentuknya atau urat-urat pada bahagian permukaannya.Semakin using kayu tersebut, semakin unik hiasan tersebut.Ada sesetengah peminat sanggup membeli kayu using yang telah diawet dengan harga ribuan ringgit hanya untuk kepuasan mata memandang dan jika disatukan dengan hiasan tanam, ia akan memberikan suatu suasana yang memukau mata si pemandang dan akan menjadi buah bicara.

Pada masa kini,penggunaan elemen kayu amat popular dikalangan pencinta taman kerana ia amat mudah dipasang dan mempunyai kualiti yang tahan lama.Sebagai contoh penggunaan kayu cengal yang semakin digilai penghias taman.Antara produk kayu cengal yang semakin popular ialah meja taman, lampu taman, lampu siling, bidai, pergola dan lain-lain lagi. Bagi penghias taman yang mempunyai kolam,penggunaan pelantar konkrit boleh ditukarkan kepada pelantar kayu.Ia lebih fleksibel dan unik serta memberikan kelainan pada kolam anda.Pemilihan jenis-jenis kayu mestilah menepati supaya masalah pelantar kayu yang kurang menarik dapat dielakkan.Aplikasi pelantar kayu atau dek bukanlah suatu elemen baru bagi menghias kolam malah Material dan dominasi struktur dek dapat memberi mood natural dan semulajadi kepada pengguna serta kekuatan dek itu sendiri yang tahan lama.Fungsi pelantar kayu atau dek ini adalah bertujuan untuk menutup ruang yang kurang menarik atau longkang yang boleh mencacatkan pemandangan pada kolam atau taman.

Tentu ada dikalangan penghias taman kurang percaya tentang pembinaan dek ini,tetapi disini terdapat beberapa aspek pemilihan yang dapat dikongsi supaya penghias taman dapat membuat pilihan serta mempunyai sebuah dek yang diidam-idamkan.Pembinaan dek yang baik dapat bertahan selama 20 tahun, oleh itu terdapat tiga kriteria utama yang menentukan kualiti dan kesempurnaan sesebuah dek.Antara kriteria tersebut adalah memilih gred atau kualiti kayu yang terbaik, mengenal pasti sistem pemasangan yang betul serta memilih spesis kayu yang betul untuk digunakan.Dalam pembinaan pelantar kayu, penggunaan kayu lembut memonopoli penggunaan kayu keras kerana harganya lebih murah dan mudah diselenggara.Namun begitu penggunaan kayu keras masih menjadi pilihan kerana faktor warna yang begitu menarik serta tahan lama.Kayu keras juga mempunyai ketumpatan yang tinggi dan tahan lasak berbanding kayu lembut.

Apa yang dapat disimpulkan disini ialah, penggunaan elemen semulajadi seperti batu dan kayu bukanlah suatu perkara baru dalam dunia landskap.Penggunaan elemen ini telah berevolusi dari semasa ke semasa supaya penghias taman mendapat kepuasan yang maksima apabila menghias taman mereka.Elemen ini juga mudah didapati dan mempunyai pelbagai saiz, corak dan warna yang menarik. Bagi penghias taman yang inginkan penjimatan bolehlah membuat sendiri bentuk landskap yang diingini menggunakan elemen ini.Penggunaan elemen ini amat mudah dan berkesan bagi menghidupkan suasana taman sekaligus menyahut seruan menghijaukan bumi yang ternyata memberi kesan terhadap persekitaran dan udara yang nyaman tanpa pencemaran.Diharap elemen ini akan terus digunakan agar landskap akan lebih menjadi indah serta nyaman sekaligus mengelakkan pencemaran yang semakin serius.